Thursday, January 2, 2014


Ati-ati



Pokok Ati-ati merupakan sejenis pokok saka yang berasal dari kawasan tropika di Afrika, Asia, Australia, Hindia Timur, Kepulauan Melayu dan Filipina. Dahulunya dikelompokkan di bawah genus Coleus, sebahagian spesies dalam genus ini kini diletakkan di bawah genus Solenostemon, manakala bakinya di dalam genus Plectranthus.
Pokok Ati-ati merupakan sejenis pokok hiasan yang mempunyai daun dua warna. Warnanya yang bertentangan memberikan daya tarikan yang menyerlah sebagai tanaman penghias taman.
Pokok ati-ati ini cantik dan mudah ditanam. Ia juga popular ditanam di kepulauan Fiji, Maluku dan Australia sebagai pokok penghias taman.
Kelainan Coleus terkenal dengan keunikannya kerana memiliki kombinasi daun berwarna warni dalam serlahan gabungan warna merah, kuning, ungu dan merah jambu. Spesies yang paling menarik ialah Coleus blumei dan Coleus hybridus dan ia mudah ditanam menggunakan keratan batang muda. Proses pengakarannya juga cepat dan tidak memerlukan penjagaan rapi.
Spesies ini anggun ditanam dalam pasu atau dalam satu barisan memanjang untuk hiasan tepi rumah. Pokok ati-ati mempunyai tekstur pokok yang berbagai-bagai seperti sederhana kasar, halus dan sederhana padat (bergantung kepada spesiesnya). Ketinggian maksimum pokok ini mencapai tiga meter.
Bunga ati-ati menyerlahkan kombinasi warna daun hijau, kuning kemerahan dan keputihan. Ia memerlukan cahaya penuh, tanah peroi, keperluan air sederhana tetapi tidak tahan kemarau.

Teknik menanam dan menjaga
Pokok ati-ati sesuai dengan tanah gembur yang banyak mengandungi bahan organik tetapi tidak menakung air disebabkan keadaan ini akan membantu pertumbuhan dan proses pengakaran yang baik.
Baja kimia yang tinggi kandungan nitrogen perlu dibekalkan sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk mendapatkan daun yang cantik.
Pokok ati-ati memerlukan cahaya penuh tetapi tidak secara lansung / terik bahangnya. Pokok yang telah matang mengeluarkan bunga kecil dalam satu jambak dan setelah berbunga, proses mengeluarkan daun muda berhenti yang lazimnya tidak lagi menampakkan serinya.
Oleh itu, selepas berbunga, adalah disyorkan dahan bunganya dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan daun baru. Pokok tua yang susah untuk digubah atau dibentuk berikutan serlahan warna daun semakin pucat boleh dijadikan baka untuk semaian pokok baru dengan penanaman semula menggunakan batang.


No comments:

Post a Comment